HUKUM MENYAMBUT HARI GURU





Soalan:

Bagaimanakah Islam memuliakan profesion perguruan dan bolehkah guru diraikan melalui sambutan hari guru?

Jawapan:

Keutamaan Guru

Guru ialah orang berilmu yang berusaha menyampaikan pelajaran kepada anak muridnya. Guru merupakan profesion yang sangat mulia dalam Islam. Sesiapa yang mendidik, menasihati dan memberi ilmu kepada kita, dialah guru. Selain itu, bertepatan dengan kewajipan menuntut ilmu ke atas setiap umat Islam, Allah  meninggikan darjat hambaNya yang mempunyai ilmu. Daripada Anas bin Malik r.a, katanya Rasulullah S.A.W bersabda,

“Menuntut ilmu adalah satu kefardhuan atas tiap-tiap Muslim"“ [HR Ibnu Majah].

Allah S.W.T berfirman,

Nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan, beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” [TMQ al-Mujadalah (8): 11].

Oleh itu, khidmat guru sangat signifikan dan penting dalam menyampaikan ilmu kepada mereka yang menuntut ilmu. Firman Allah Ta’ala,

"..bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berilmu berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahuinya" [TMQ al-Anbiya' (21): 7].

Allah S.W.T juga menjanjikan ganjaran pahala berpanjangan kepada orang-orang yang menyampaikan ilmu sepertimana hadis daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah S.A.W bersabda,

Sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan suatu amal yang baik, adalah baginya pahala sebanyak pahala orang-orang yang mengikutinya, dengan tidak mengurangi (oleh Allah) sedikit pun pahala itu daripada pahala-pahala mereka; dan (sebaliknya) sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang menyesatkan, adalah dia menanggung dosa sebanyak dosa orang-orang yang mengikutinya, dengan tidak  mengurangi (oleh Allah) sedikit pun dosa itu dan dosa-dosa mereka[HR   Muslim, Abu Daud dan Tirmizi].

Oleh itu, Islam menjadikan pendidikan, tentunya dengan guru sebagai enjinnya, sebagai satu teras penting

dalam melaksana, menjaga dan menyebarkan fikrah dan thariqah Islamiyyah.

Tradisi Perguruan Dalam Islam

Rasulullah S.A.W adalah guru utama dalam Islam. Selain daripada menyeru masyarakat kepada Islam di mana sahaja baginda berada, Rasulullah S.A.W menyampaikan pengajaran Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah dalam majlis-majlis ilmu, antaranya di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam pada fasa dakwah di Makkah dan masjid pada fasa Daulah Islam di Madinah. Para sahabat yang memperoleh tsaqafah Islam daripada Rasulullah S.A.W juga menjadi guru dengan meriwayatkannya kepada orang lain yang tidak hadir di majlis baginda. Riwayat yang diterima terus disampaikan hinggakan ilmu wahyu menjadi satu bidang ilmu yang amat luas dan mendalam kerana   tradisi penyampaian ilmu yang unik ini. Sebenarnya ini tidak lain sebagai sambutan terhadap sabda Rasulullah S.A.W,
 
Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya[HR Bukhari].

Selain ilmu wahyu, ilmu praktikal lain juga diajar dan dipelajari oleh umat Islam sejak zaman Rasulullah S.A.W lagi, antaranya ilmu membaca,   menulis dan mengira, ilmu perubatan, ilmu bahasa dan sastera, ilmu ketenteraan dan ilmu untuk membangunkan ekonomi seperti ilmu perdagangan, pertanian dan perindustrian.

Budaya penyampaian ilmu ini juga melibatkan kaum wanita, sama ada isteri-isteri Rasulullah S.A.W mahupun para sahabiyah. Bahkan sebahagian ilmu fiqh dan sunnah hanya dapat diperoleh daripada para isteri Rasulullah S.A.W kerana merekalah yang hidup bersama Rasulullah S.A.W di luar daripada kehidupan umum.

Tradisi pengembangan ilmu ini diteruskan selepas wafatnya Rasulullah S.A.W. Meskipun setiap individu mampu mengajarkan sebarang ilmu, namun orang berilmu yang menjadikan guru sebagai profesionnya diberikan perhatian yang lebih. Contohnya, Saidina ‘Umar r.a membayar gaji sebanyak 15 dinar sebulan kepada guru-guru profesional dalam Daulah Islam. Guru-guru disediakan prasarana pengajaran dan kemudahan hidup oleh Khulafa’ Islam. Hinggakan, tamadun Islamlah yang pertama sekali mendirikan universiti iaitu kompleks sekolah peringkat tinggi dan kemajuan Daulah Islam pula dipacu oleh perkembangan ilmu dan pemikiran, di samping jihad.

Daulah Islam tidak pernah memandang guru sebagai kerjaya berstatus rendah. Apabila umat Islam diajar agar menuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad, menyebabkan umat Islam amat sebati dengan budaya keilmuan. Sejarah mencatatkan para pemimpin Islam seperti Khalifah Harun Al-Rasyid, Muhammad Al-Fatih dan ramai lagi yang suka menuntut ilmu dan sangat menghormati guru mereka dan menjadikan mereka sebagai penasihat utama untuk membuat keputusan penting dalam negara.

Demikianlah betapa Islam sebagai satu ‘aqidah aqliyah’ dan hadharah yang sangat mementingkan pembinaan pemikiran yang benar, memuliakan profesion guru dan menjadikannya sebagai agen penting dalam masyarakat. Perkembangan ilmu dalam Islam tidak lari daripada tunjangnya iaitu aqidah dan cabangnya iaitu syariah, pastinya dengan panduan wahyu. Rasulullah S.A.W bersabda,

“Kelebihan seorang alim (ilmuan) berbanding seorang ‘abid (ahli ibadah) ibarat bulan purnama terhadap seluruh bintang” [HR Abu Dawud].

Sambutan Hari Guru

Pada masa kini pula, hari guru disambut untuk menghargai jasa dan pengorbanan para guru dalam usaha dan kesungguhan mereka menyampaikan ilmu dan mendidik anak didiknya. Disebabkan Islam juga mengajar menghargai jasa guru, maka acara yang bertujuan menghargai dan mengingati jasa mereka adalah mubah (harus) dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja selagi tidak melanggar hukum syarak. Antara contoh perlanggaran hukum syarak ialah percampuran antara lelaki dan perempuan (ikhtilat), mewajibkan pelajar memberikan hadiah kepada guru, dan menetapkan tarikh tertentu agar menyambutnya selari dengan peristiwa penting yang disambut oleh hadharah bukan Islam.

Secara sejarahnya, pemerintah Malaysia memilih tarikh 16 Mei untuk menyambut hari guru sebagai memperingati bermulanya Dasar Pelajaran Kebangsaan iaitu pada 16 Mei 1956. Pada tarikh inilah dokumen cadangannya yang dikenali sebagai Penyata Razak diterima oleh Majlis Undang-Undang Tanah Melayu, yang ketika itu masih di bawah penjajahan British.

Sehubungan itu, janganlah kita meraikan guru hanya pada 16 Mei kerana meraikan tarikh bermulanya satu dasar pendidikan sekularisme ke dalam sebuah negara yang juga mengamalkan sistem kapitalisme. Sebagai Muslim, kita hendaklah memahami bahawa hanya aqidah Islam yang boleh menjadi dasar pendidikan negara dan hanya ini sahajalah yang mampu melahirkan umat yang sentiasa melaksanakan peranan mereka dengan benar di muka bumi ini. Justeru, yang menjadi kewajipan bagi kita ialah  menukar sistem pendidikan dan semua sistem lain yang berteraskan sekularisme dalam negara kepada sistem Islam yang  berasaskan aqidah Islam.

Khatimah

Sebagaimana jasa ibu bapa, penghargaan terhadap jasa guru juga selari dengan pandangan Islam. Malah Islamlah yang telah meletakkan guru di kedudukan yang sangat tinggi dan terhormat dalam negara. Mereka hendaklah sentiasa dihormati oleh masyarakat dan diberi keutamaan dalam Daulah Islam, sebagaimana yang berlaku pada zaman syariat Islam dilaksanakan dalam Daulah Islam. Namun begitu, kita seharusnya sentiasa memperhatikan kaedah sambutan hari guru tersebut agar tidak bertentangan dengan Islam. Kitaseharusnya menghapuskan amalan-amalan yang tidak selari dengan Islam yang acapkali dilakukan oleh masyarakat kita tanpa kita sedari terutamanya memuji sistem dan perlaksanaan pendidikan negara yang jelas-jelas sekular, malah menjadikan hari guru sebagai wadah kesinambungan sistem kapitalisme.

Wallahu a’lam.


[FU/Bil.55/Mei 2013] 



SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment